PORT DICKSON 1 Okt.- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu melayan sebarang tuduhan berbentuk peribadi terhadapnya ketika ini kerana mahu memberikan sepenuh perhatian dalam kempennya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Menurut Anwar, beliau telah melalui pelbagai tuduhan sedemikian hampir 20 tahun dan meminta pihak yang terlibat supaya mencari modal lain bagi menentangnya.
“Saya mahu terus dengan kerja saya, sudah ada penafian, sudah ada fitnah, 20 tahun saya lalui ini, sudahlah..Lokman saya beri nasihat juga, carilah modal lain. Saya tak kisah, Fahmi (Pengarah Komunikasi PKR) buat laporan polis tanpa beritahu saya, kalau saya malas dah.
“Tapi perkara ini dia kutip sumber dan sumber itu dah nafi, kalau orang itu ada adab dan akhlak, kalau sumber itu sudah nafi, dia minta maaf sahajalah. Saya nak tumpu Port Dickson supaya menang dahulu, yang lain tak payahlah, saya tak mahu bincang,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH), PRK Port Dickson di sini hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi satu hantaran dalam akaun Facebook miliknya telah memetik sumber berita kononnya dari pihak Mediacorp di Singapura yang mendakwa kononnya Anwar disiasat oleh pihak berkuasa Singapura kerana terlibat dalam kes liwat di negara itu.
Pihak Mediacorp kemudiannya menafikan telah melaporkan berita tersebut dan Lokman Noor juga telah didapati memadam hantarannya berkenaan perkara tersebut di akaun Facebook miliknya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihaknya membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson hari ini berhubung tindakan tidak bertanggungjawab oleh Lokman Noor tersebut.
“Saya telah membuat laporan polis ini kerana beranggapan bahawa ia merupakan satu kenyataan cukup jahat yang penuh tohmahan dan fitnah dan cuba mengubah persepsi umum terhadap Datuk Seri Anwar yang merupakan salah satu calon dalam PRK Parlimen Port Dickson,” katanya.- UTUSAN ONLINE











