KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kembali ke Dewan Rakyat hari ini bertekad untuk menambah baik dan memperkukuh kedudukan Parlimen sejajar dengan tanggungjawab terbarunya itu.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tumpuannya termasuk melaksanakan usaha menubuhkan beberapa jawatankuasa pemilih selaras dengan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Keutamaan adalah untuk membantu kerajaan melaksanakan sebahagian daripada manifesto iaitu pembaharuan Parlimen, Parlimen kita pada masa lalu telah dianggap sebagai rubber stamp sahaja, ahli Parlimen akan bahaskan dan perakukan apa sahaja yang telah diputuskan.
“Pendekatan baharu ini untuk memastikan Parlimen menjadi lebih efektif menerusi penubuhan jawatankuasa memilih atau pelbagai perbincangan lain sebelum perbahasan, sebelum pembentangan undang-undang dan ini sudah tentu akan dibincangkan, ia perlu diperakukan oleh Kabinet,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Anwar juga bertegas bahawa beliau tidak akan menyertai Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – Bernama










