PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati teguran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan bukan kerajaan (NGO), Bersih berhubung isu beliau didakwa oleh pihak tertentu menyalahgunakan aset kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau menghargai peranan kedua-dua pihak berkenaan bagi memastikan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara, namun berharap kelonggaran dapat diberikan kepada setiap calon yang bertanding.
“Seperti semasa saya menaiki kereta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk berbincang kira-kira 10 minit baru-baru ini yang ditegur sebagai salah guna. Bukannya saya berkempen. Saya fikir SPR perlu pertimbangkan.
“Yang penting tidak ada menteri umumkan projek semasa PRK. Itu salah guna paling besar yang tidak berlaku kali ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Santai Pagi di Taman Tanjung Gemok di sini pagi ini.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan baru-baru ini mengingatkan aset atau kemudahan kerajaan tidak digunakan bagi tujuan kempen dan suruhanjaya itu mengambil perhatian terhadap perbuatan yang menimbulkan reaksi negatif dalam kempen PRK Port Dickson.
Anwar seterusnya berkata, beliau dan pemimpin PH menyambut baik arahan SPR supaya menteri Kabinet dan ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan tidak berkempen semasa waktu bekerja. – K! ONLINE











