KUALA LUMPUR 4 Okt. – Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menang mudah dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada trend pengundi Pas yang akan mengundi calon partinya manakala pengundi UMNO akan memberi undi mereka kepada calon bebas iaitu bekas Menteri Negeri Sembilan Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan serta dua calon lagi.
Menurut beliau, Presiden PKR itu juga dijangka mendapat sekurang-kurangnya 80 peratus undi kaum Cina dan India serta lebih 30 peratus undi daripada orang Melayu iaitu penyokong PH dan anggota tentera.
Ibrahim turut meramalkan semua calon bebas kecuali Pas, akan hilang deposit memandangkan masing-masing akan mendapat undi yang sedikit.
“Banyak pihak bertanya pada saya mengapa Mohd. Isa dan Mohd. Saiful bertanding atas tiket bebas. Saya yakin Mohd. Isa ada matlamat terancang yang dia sendiri tahu jawapannya selain bercita-cita mahu menang PRK Parlimen Port Dickson manakala Mohd. Saiful pula mungkin mendapat dorongan dari dirinya sendiri atau kemungkinan ada pihak tertentu memberi rangsangan kepadanya, selain tidak lebih untuk memalukan Anwar dengan kes liwatnya.
“Jika benar sebagaimana diramalkan itu, PRK ini adalah rezeki Anwar sedangkan Mohd. Isa jika kalah pun, tidak rugi apa-apa kerana dia sudah meninggalkan UMNO dan parti itu juga telah layu serta hilang segala-galanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE











