Angin melawan masih ada - Utusan Malaysia

Angin melawan masih ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: Sebanyak 21 langkah digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam usahamerencana kebangkitan UMNO selepas parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Tidak dapat dipastikan sama ada langkah-langkah yang digariskan itu mampu memberi impak segera kepada UMNO tetapi yang pasti, ahli-ahli sangat mengharapkan maklum balas segera daripada pucuk pimpinan. Kepada media, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, TENGKU RAZALEIGH HAMZAH melontarkan pandangannya mengenai langkah-langkah yang digariskan dan sejauh mana perancangan itu mampu memacu UMNO bergerak ke depan.

 

Apa pandangan Yang Berhormat mengenai 21 langkah yang digariskan oleh Presiden untuk membangkitkan semula UMNO?

TENGKU RAZALEIGH: Beliau bergantung dan menaruh harapan kepada sokongan akar umbi, sebab itu berulang kali dalam ucapannya memberitahu mahu turun padang untuk berjumpa ahli-ahli.

Nampaknya beliau cuba lepaskan pelbagai tanggungjawab supaya dipikul oleh peringkat akar umbi sama ada dari segi pandangan atau pun memikul tanggungjawab untuk memilih calon, Ketua Badan Perhubungan dan sebagainya, bermakna tidak lagi tanggungjawab Majlis Tertinggi. 
Satu tindakan yang ‘melibe­ralkan’ UMNO. Baik tidak baik terpulang kepada ahli-ahli untuk memikirkannya, kita harap perkara yang baik akan timbul daripada cadangan ini.

Apakah perancangan dibentangkan itu menampakkan hala tuju parti yang sering menjadi tanda tanya selepas tewas PRU-14?

Beliau cakap untuk menang pilihan raya umum (PRU). Saya rasa untuk mantapkan semangat perjuangan sebagaimana tema perhimpunan kali ini, Sebuah Perjuangan. Jadi barangkali berkisar di atas mauduk itulah beliau telah bentang pelbagai tindakan yang diharap dapat dilaksanakan.

Bagaimana dengan cadangan menetapkan umur minimum keahlian kepada 16 tahun?

Itu saya berpandangan kena fikir dengan halus sebab umur 16 tahun ini mereka masih bersekolah.
Keduanya, kepemimpinan kumpulan umur 16 tahun ini kalau tidak punyai pemimpin berwibawa, boleh hanyut, boleh menimbulkan masalah. Terpulang kepada kepemimpinan, cuma golongan umur itu masih bersekolah.

Pandangan YB mengenai indikasi ‘government in waiting’ yang disebut-sebut Presiden?

Beliau ulang dua tiga kali, saya tidak tahu lah.
Saya rasa pada masa ini kena tanam kesedaran dalam kalangan kita kerana kalah dengan teruk dalam PRU-14 sehinggakan menimbul syak wasangka kepada pemimpin akar umbi sama ada boleh ke tidak kita bergerak ke depan. 
Tapi kehadiran begitu ramai pada perhimpunan kali ini nampaknya mereka bersikap mahu terus berjuang dan angin nak lawan masih ada.

Bagaimana pula cadangan Presiden yang mahu wakil rakyat UMNO ‘diikat’ de­ngan perjanjian supaya tidak sewenang-wenangnya lompat parti?

Saya tidak tahu dari segi undang-undang boleh buat atau tidak sebab sebelum ini di Pulau Pinang di bawah kepe­mimpinan Tun Dr. Lim Chong Eu pernah dilaksanakan. Begitu juga di Sabah ketika era pentadbiran Tun Mustapha Harun, bukan mudah. 
Perkara ini ada kaitan dengan hak wakil rakyat itu sendiri.

Mereka telah tawar khidmat kepada rakyat, bukan parti, cuma parti yang memilih mereka sebagai calon. Sokongan bukan sahaja daripada parti tetapi pengundi yang mungkin bukan dalam kalangan ahli parti atau yang menyokong perjuangan parti.

Dalam keadaan tertentu kawasan diwakili itu dibentuk pemikirannya oleh rakyat. Saya tidak dalami hal ini tetapi mengikut apa dialami di Pulau Pinang dan Sabah, usaha mahu ‘ikat’ wakil rakyat ini tidak berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN