Anggota tentera laut didenda kerana merokok di hospital - Utusan Malaysia

Anggota tentera laut didenda kerana merokok di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Seorang anggota tentera laut didenda RM400 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merokok dalam kawasan larangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), April lalu.

Anggota tentera laut didenda kerana merokok di hospital

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Rahimy Yunan, 38, mengaku bersalah merokok di dalam kawasan tempat letak motosikal di hadapan unit kecemasan, HKL iaitu tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(b) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pada pukul 11.35 pagi, 16 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen Peraturan 11(3) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa, Shumizan Siron memohon hukuman setimpal atas alasan lelaki itu merupakan penjawat awam yang perlu mematuhi undang-undang manakala Rahimy yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pegawai dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa yang menjalankan pemeriksaan dan pemerhatian di HKL mendapati Rahimy sedang merokok di kawasan larangan.

Pegawai tersebut telah mengambil rokok yang masih menyala dan terus memadamkannya. Beliau kemudian telah menyerahkan puntung rokok kepada pembantunya untuk dimasukkan ke dalam plastik. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN