SHAH ALAM – Isteri kepada seorang anggota bomba dan penyelamat, Mohd. Fatah Hashim, 34, yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak menyangka mimpinya dua minggu lalu suami meninggal dunia menjadi kenyataan.
Noor Nadia Kamaludin, 29 berkata, mimpi itu dialaminya dua minggu lalu ketika tidur di rumahnya di Pelabuhan Klang.
Katanya, bagaimanapun mimpi berkenaan tidak menyatakan secara khusus bagaimana arwah suaminya meninggal dunia.
“Saya ada memberitahu hal tersebut kepada arwah suami namun dia hanya ketawa dan menganggapnya sebagai satu mainan tidur.
“Saya tidak sangka perkara itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada upacara penghormatan terakhir di Balai Bomba Shah Alam di sini hari ini.
Menceritakan lebih lanjut, Noor Nadia memberitahu bahawa arwah suaminya itu telah bekerja sebagai unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selama tujuh tahun.
Ujarnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Mohd. Fatah adalah pukul 11 pagi semalam.
“Sebelum arwah suami pergi kerja, dia sempat memeluk dua orang anaknya iaitu Nur Medina Aisya,3, dan Mohammad Meqa Al-Asyraf,2, dengan menyatakan perasaan sayangnya kepada mereka,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan enam anggota PPDA terkorban selepas lemas ketika melakukan selaman dalam SAR terhadap seorang mangsa yang dilaporkan hilang di Tasik Putra Perdana, Puchong dekat sini pukul 6 petang semalam. – K! ONLINE











