SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengarahkan penutupan serta-merta kawasan lombong di Putra Perdana, Puchong kepada orang ramai yang menjadi lokasi enam anggota terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja semalam.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penutupan tersebut akan dilakukan sebaik SAR terhadap remaja yang dilaporkan hilang itu ditamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Katanya, lombong itu sebenarnya ialah kawasan tadahan air tetapi sering dijadikan orang awam sebagai tempat memancing.
“Ini bukan kejadian pertama (lemas) di lombong tersebut dan saya telah mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang menutupnya sebaik SAR ditamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di sini hari ini.
Jelas beliau, sumbangan RM20,000 daripada kerajaan negeri akan disalurkan kepada keluarga mangsa yang terlibat bagi menghargai jasa anggota bomba yang terkorban.
“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba yang maut dan berharap sumbangan ini dapat mengurangkan beban serta kesedihan mereka,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan enam anggota PPDA terkorban selepas lemas ketika melakukan selaman dalam SAR terhadap seorang mangsa yang dilaporkan hilang di Tasik Putra Perdana, Puchong dekat sini pukul 6 petang semalam. – K! ONLINE











