Anggota bomba lemas: Jenazah Mazlan dijangka tiba di Tawau petang ini - Utusan Malaysia

Anggota bomba lemas: Jenazah Mazlan dijangka tiba di Tawau petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Jenazah seorang daripada enam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang lemas ketika bertugas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Taman Perdana Putra Puchong, Selangor malam tadi akan dikebumikan di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, jenazah Mazlan Omarbaki, 25, dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau dekat sini pada pukul 4.30 petang.

Menurut Sharudy, persiapan menyambut ketibaan jenazah telah dilakukan dan arwah akan dibawa ke Kampung Batu Payung untuk urusan pengebumian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita telah membuat persediaan untuk menyambut jenazah anggota unit PPDA yang meninggal dunia dalam operasi di Taman Perdana Putra Puchong semalam.

“Jenazah dijangka tiba pada pukul 4.30 petang kemudian dibawa ke rumah bapa saudaranya di Kampung Batu Payung untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Mazlan yang berasal dari Tawau dan berbangsa Bajau itu merupakan anggota dalam unit PPDA berpangkalan di Pelabuhan Klang, Selangor.

Arwah yang masih bujang dan berkhidmat bersama JBPM selama lima tahun merupakan salah seorang anggota yang maut ketika operasi SAR mangsa lemas berusia 17 tahun di Taman Perdana Putra Puchong.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, kesemua anggota dipercayai terbelit antara satu sama lain selepas arus di lokasi pencarian terlalu kuat sehingga mereka gagal menyelamatkan diri.

Kehilangan beliau bersama lima lagi rakan setugas iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omar Baki, 25, dan Yahya Ali, 24 dari PPDA Pelabuhan Klang serta Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dan Adnan Othman, 33, dari PPDA Shah Alam disifatkan sebagai kehilangan besar aset JBPM negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini