KUALA LUMPUR 3 Okt. – Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aliza Sulaiman hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman fitnah RM250 juta syarikat pemaju hartanah dan kontraktor binaan, Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) terhadap syarikat akhbar, The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP), di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman tersebut berhubung artikel yang disiarkan akhbar Berita Harian (BH) mengenai projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang didakwa tidak tepat dan berat sebelah telah mencemar reputasi syarikat berkenaan.
Peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili SPSB memberitahu pemberita, Aliza sehubungan itu mengarahkan supaya fail kes saman SPSB dihantar semula kepada Timbalan Pendaftar bagi menentukan hakim baharu yang bakal mengendalikan kes tersebut.
Sementara itu, peguam M. Rueben yang mewakili NSTP ketika ditanya berkata, Aliza menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan beliau mengenali Pengarah Pembangunan Perniagaan SPSB, Datuk Marina Hashim yang memfailkan saman tersebut.
Sehubungan itu menurut Rueben, Aliza berpendapat tidak wajar baginya untuk mendengar kes berkenaan.
SPSB selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan bertarikh 20 Jun lalu menamakan NSTP dan wartawan, Che Wan Badrul Alias sebagai defendan pertama dan kedua.
Pihak plaintif menyatakan, defendan pertama pada 21 Disember 2017 telah menerbitkan satu artikel dalam BH yang ditulis oleh defendan kedua bertajuk, Pindah milik tanah Felda Jalan Semarak dicurigai.
Defendan kedua pada keesokannya, dakwa pihak plaintif, menulis pula artikel bertajuk, Agensi ambil apa sahaja tindakan dapat semula tanah bernilai RM270 juta dan pada 23 Disember tahun sama, menerbitkan artikel bertajuk, Nilai tanah RM1B, Harga jual RM270J.
Selanjutnya dakwa pihak plaintif, defendan pertama pada 25 Disember tahun sama menerbitkan artikel bertajuk, Felda berang berita palsu isu tanah Jalan Semarak dan pada 9 Februari lalu didakwa menerbitkan pula artikel bertajuk, Audit Forensik senarai nama Lembaga Pengarah Felda, FIC. (Felda Investment Corporation Sdn. Bhd.)
Kesemua artikel tersebut, dakwa pihak plaintif telah memfitnahnya, berniat jahat dan mengelirukan selain gagal mematuhi nilai-nilai kewartawanan yang betul.
Artikel tersebut membawa maksud antara lain, tindakan pihak plaintif telah menyebabkan Felda kehilangan aset dan mengalami kerugian besar, menggunakan kaedah yang menyalahi undang-undang dan menipu.
Pihak plaintif sehubungan itu memohon defendan pertama membayar ganti rugi RM200 juta dan defendan kedua membayar ganti rugi RM50 juta dalam tempoh tujuh hari kepada pihak plaintif.
Secara alternatif, defendan pertama dan kedua secara bersama dan berasingan membayar RM250 juta kepada plaintif sebagai ganti rugi atas tindak-tanduk mereka.
Yang turut dimohon oleh plaintif, suatu perintah mengarahkan pihak defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan atau perkataan yang dinyatakan dalam artikel tersebut berdasarkan terma-terma yang diluluskan oleh plaintif serta ganti rugi am.
Pihak defendan dalam pernyataan pembelaan bertarikh 25 Julai lalu menyatakan, artikel pertama, kedua, ketiga dan kelima yang dipertikaikan itu tidak merujuk kepada pihak plaintif.
Pihak defendan berpendapat, kandungan artikel tersebut suatu komen yang adil berhubung perkara berkepentingan awam dan menegaskan bahawa artikel itu tiada kena mengena dengan plaintif dan secara eksklusif menyentuh isu-isu berkepentingan awam yang lebih luas.
Artikel tersebut dakwa pihak defendan, hanya melaporkan tentang transaksi-transaksi yang didakwa mencurigakan dan dakwaan ‘salah laku’ dalam Felda atau FIC dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan. – UTUSAN ONLINE











