MANCHESTER, England 18 Okt. – Semua mata kini terarah kepada nasib yang bakal dialami Jose Mourinho hujung minggu ini apabila aksi tumpuan antara Manchester United dan Chelsea berlangsung di Stamford Bridge Sabtu ini.
Persoalannya tidak lain tidak bukan ialah apakah pengendali dari Portugal ini masih mampu kekal sebagai pengurus selepas perlawanan itu atau akan terus disanjung dan dipuji seperti ketika United bangkit menewaskan Newcastle 3-2, dua minggu lalu.
Kepulangan Mourinho ke Stamford Bridge sejak meninggalkan Chelsea sudah pasti dinanti penyokong The Blues tetapi lebih penting untuk dilihat ialah strategi yang akan digunakannya dalam usaha menjinakkan bekas kelabnya yang kini berada pada prestasi terbaik di bawah bimbingan Maurizio Sarri.
Sama ada Mourinho akan mengekalkan corak positif dan menyerang untuk menyelamatkan kedudukan gentingnya atau lebih suka bertahan demi menyekat kemaraan Eden Hazard dan rakan sepasukannya, kedua-dua taktik mempunyai risiko.
Jelas dilema yang dihadapi Mourinho ini meletakkan Chelsea yang belum lagi kalah musim ini selaku pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu, apatah lagi beraksi di depan penyokong mereka sendiri.
Menduduki tangga kedua liga dengan berkongsi 20 mata bersama pendahulu, Manchester City dan Liverpool di tangga ketiga, Chelsea dilihat memiliki kelebihan di semua posisi.
Jika berdasarkan rekod pertemuan pula, Chelsea tidak pernah kalah kepada United di laman sendiri sejak Oktober 2012. Daripada 16 pertemuan sebelum ini pula, Chelsea hanya pernah tewas dua kali.
Kesimpulannya, Mourinho kena memastikan United tidak kalah lagi biar pun terpaksa bermain secara bertahan. –AGENSI










