IPOH – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd. (AirAsia) terus memperluaskan rangkaian penerbangan domestiknya dengan memperkenalkan laluan baharu Johor Bahru ke Ipoh mulai semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata, penerbangan sebanyak empat kali seminggu itu menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.
“Kami berbesar hati untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Johor ke Ipoh yang juga merupakan destinasi yang dinanti-nantikan dalam rangkaian laluan AirAsia.
“Selain penerbangan baharu ini, kami juga telah memulakan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar pada hari ini dan yakin kedua-duanya akan menjadi destinasi popular untuk percutian dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan 126 penumpang penerbangan AirAsia AK6082 di LTSAS dekat sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dan Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar.
Penerbangan domestik dari Johor Bahru ke Ipoh itu mengambil masa kira-kira 50 minit.
Tambah Riad, AirAsia juga komited untuk terus meningkatkan industri pelancongan dengan perkhidmatan penerbangan ke Ipoh.
Katanya, ini sekali gus dapat menyumbang kepada peluang pekerjaan dan pekerjaan masyarakat setempat.










