PUTRAJAYA 18 Okt.- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi memberikan keterangan untuk kali keenam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 3 petang dengan menaiki kenderaannya jenis Lexus berwarna putih.
Menurut sumber, beliau semalam menerima notis SPRM untuk hadir pada hari ini bagi memberikan keterangan yang dipercayai berhubung dakwaan penyelewengan dana yayasan milik keluarganya, Yayasan Akal Budi.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan, tidak menolak kemungkinan Ahmad Zahid akan ditahan hari ini sebelum dibawa ke mahkamah esok untuk pendakwaan.
Pada minggu lalu, Ahmad Zahid telah dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut selain untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu.

Selain Ahmad Zahid, turut dipanggil memberikan keterangan membabitkan kes itu ialah anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah dan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi @ Hamidi. – UTUSAN ONLINE










