SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM500,000 pada Ogos dan September tahun lalu.
Wang tersebut dipercayai hasil tuntutan palsu pulangan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Tertuduh, Loo Peng Wah, 51, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dihadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah memperoleh wang berjumlah RM200,000 di sebuah apartment di Taman Equine, Seri Kembangan pada 29 Ogos 2017.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperoleh RM300,000 di sebuah rumah di Taman Serdang Raya, Seri Kembangan pada 2 September 2017.
Sehubungan itu, Peng Wah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
“Kami memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh memandang tertuduh menghadapi 32 pertuduhan dibawah AMLA dan enam dibawah GST,” katanya.
Peguam Mardhiyah Sirajkumar yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guam tidak mampu membayar selain telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
Hakim Yang Zaimey kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan Peng Wah supaya melapor diri ke pejabat Kastam di Ipoh setiap awal bulan.
Mahkamah turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh bagi dibicarakan bersama kes lain. Tertuduh tidak membayar wang jaminan. – K! ONLINE










