Ahli Parlimen didakwa cabul remaja diambil keterangan esok - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen didakwa cabul remaja diambil keterangan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Okt.- Polis akan mengambil keterangan seorang Ahli Parlimen di Perlis yang disyaki mencabul gadis bawah umur di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini, esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, Ahli Parlimen tersebut akan dirakam percakapan kira-kira pukul 10 pagi oleh pegawai dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11).

“Ya, akan diambil keterangan esok pada pukul 10 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Polis Kontinjen Perlis hari ini menafikan dakwaan berlakunya cubaan menutup kes seksual melibatkan seorang anggota Parlimen di Perlis, sebaliknya siasatan dijalankan secara sulit mengikut prosedur ditetapkan kerana kes membabitkan mangsa bawah umur.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohamed berkata, pihaknya tidak sama sekali bertindak berat sebelah kerana suspek seorang orang kenamaan dan menegaskan mana-mana individu terlibat jenayah akan tetap dibawa ke muka pengadilan.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan selesai sahaja siasatan kita akan serahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch) Datuk R. Sri Sanjeevan menerusi akaun Twitter miliknya mempertikaikan mengapa Ahli Parlimen terbabit sehingga kini masih belum ditangkap sedangkan laporan polis sudah dibuat mangsa.

Difahamkan, satu laporan polis dibuat baru-baru ini yang mendakwa mangsa berusia 15 tahun dicabul oleh Ahli Parlimen berkenaan, namun laporan itu ditarik balik keluarga mangsa.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN