KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Indonesia, Afgan bersimpati dengan musibah rakyat Indonesia yang terkesan dengan tragedi gempa bumi dan tsunami besar yang berlaku di bandar Palu di Pulau Sulawesi baru-baru ini.
Kata Afgan atau nama sebenarnya, Afgan Syah Reza, 29, sebelum gempa dan tsunami yang melanda bandar berkenaan, dia turut berdepan detik cemas ketika gempa bumi terjadi Pulau Lombok Ogos lalu.
“Ketika itu, kebetulan saya berada di Bali. Saya terjaga awal pagi disebabkan gegaran yang amat kuat. Walaupun berada di Bali dan gempa bumi berlaku di Lombok, gegaran kuat tetap dirasakan.
“Belum reda di Lombok, di Palu pula berlaku gempa dan tsunami. Saya amat bersimpati namun semua ini mengingatkan kita bahawa Allah tegur dengan pelbagai cara,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada sidang akhbar konsert DEKADE Live di Kuala Lumpur 2018 hari ini.
Sehubungan itu, bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dengan bencana alam tersebut, pelantun lagu Terima Kasih Cinta itu bakal mengadakan konsert bersama lebih 100 penyanyi Indonesia dalam sebuah konsert amal pada 5 Oktober ini di Jakarta.
“Saya bantu apa yang mampu. Bersama rakan-rakan di sana, kami membina tempat mandi dan menyalurkan bekalan air bersih kerana di sana (Palu) kekurangan air bersih.
“Selain itu, saya bersama 100 penyanyi di Indonesia akan mengadakan konsert amal untuk membantu mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu pada 5 Oktober ini. Ini adalah usaha kecil kami untuk membantu sesama manusia,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Afgan bakal mengadakan konsert bersempena 10 dekad bergelar penyanyi yang diberi judul Konsert DEKADE Live di Kuala Lumpur pada 3 November depan bertempat di Planary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Tiket konsert RM288 (Silver) dan RM1288 (Diamond VVIP) telah habis dijual. Bagaimanapun, peminat masih boleh mendapatkan tiket konsert berharga RM588 (Gold), RM888 (Platinum) melalui https://premier.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-92228811. – K! ONLINE










