KUALA LUMPUR 4 Okt. – Juara dua kali, Jepun mara ke final Kejohanan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali keempat selepas menewaskan Australia 3-1 dalam separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Jepun muncul, juara 1994 dan 2006, selain naib juara 2012 bagaimanapun ketinggalan 0-1 hasil sepakan penalti Noah Botic pada minit kelapan.
Begitupun, sebaik sahaja babak kedua bersambung, Jepun yang dibimbing Yoshiro Moriyama melancarkan serangan bertali arus dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi penyerang berbisa mereka, Shoji Toyama yang menyempurnakan hantaran pendek pemain gantian, Ryuma Nakano.
Toyama meledak gol peribadi kedua pada minit ke-69 yang berpunca daripada kesilapan penjaga gol Australia, Adam Pavlesic yang tersilap memberikan bola kepada pemain lawan yang terus menghantar bola kepada Toyama untuk meletakkan Jepun di hadapan.
Jepun mengesahkan tiket ke final apabila Shunsuke Mito mudah menolak masuk hantaran silang rakan sepasukan pada minit ke-78 dan keputusan 3-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Satu lagi perlawanan separuh akhir antara Tajikistan dan Korea Selatan sedang berlangsung. – BERNAMA









