PUTRAJAYA 25 Okt. – Sebanyak 57 syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara telah dibatalkan lesen sejak tahun 2014 sehingga sekarang di atas pelbagai kesalahan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah seperti menggaji pengawal keselamatan warga asing tanpa izin, pengawal keselamatan tidak melepasi tapisan keselamatan, penggunaan kad pengenalan palsu dan kesalahan yang melibatkan senjata api.
“Selain itu, masih terdapat ahli-ahli lembaga pengarah dan pemegang saham yang tidak melibatkan diri secara langsung dalam perniagaan syarikat kawalan keselamatan mereka.
“Malahan, saya juga dimaklumkan masih ada segelintir yang hanya menerima elaun bulanan tanpa mengawasi dan menyelia perjalanan perniagaan sehingga berlakunya gejala menyewa dan memajak lesen,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan semua syarikat kawalan keselamatan supaya tidak melakukan kesalahan seperti menggunakan pekerja asing tanpa izin dan memajakkan lesen kawalan keselamatan kepada pihak lain.
Katanya, KDN juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas syarikat terbabit sekiranya terdapat bukti kukuh mengenai perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE










