ALOR SETAR – Seramai 57 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan selepas rumah mereka di Kampung Lapangan Terbang dan Kampung Seri Pasir di Kepala Batas di sini dilanda banjir hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Mohd. Zain Bahrum berkata, kesemua mangsa mula berpindah ke pusat pemindahan di Surau Assyakirin sejak pukul 6 petang tadi.
“Rumah penduduk di dua kampung tersebut dinaiki air sedalam 0.9 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, dua lagi pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah dan SK Gunung dalam proses untuk dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di kawasan tersebut.
“Semua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam keadaan berjaga-jaga dan Pusat Kawalan Operasi Daerah APM beroperasi 24 jam,” tambahnya. – K! ONLINE









