MELAKA 1 Okt. – Dua aspek akan diberi penekanan oleh kerajaan dalam rangka menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan dibentangkan di Kabinet pada 18 Oktober ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua aspek itu adalah laporan kemajuan dalam tempoh dua tahun pertama negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan hala tuju dan dasar ekonomi negara berdasarkan manifesto kerajaan.
Menurut beliau, kesemua perkara itu sedang diteliti secara terperinci oleh Unit Perancang Ekonomi untuk dibentangkan dalam kajian separuh penggal RMK-11.
“Pembentangan kajian separuh penggal kali ini agak unik kerana ia bukan sahaja membentangkan prestasi ekonomi negara dalam tempoh lima tahun pertama tetapi RMK-11 melibatkan kerajaan baharu PH yang dibentuk selepas 11 Mei lalu.
“Jemaah menteri telah bersetuju supaya kementerian membentangkan kajian separuh penggal mengandungi dua pendekatan iaitu pertama kita akan terus beri laporan kemajuan dalam tempoh dua tahun pertama manakala strategi kedua kita akan buatkan strategi baharu dalam menentukan dasar ekonomi negara berdasarkan manifesto PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan sesi pemukiman keenam sempena Mesyuarat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) peringkat Menteri ke-24 di sebuah hotel di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari; Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution dan Menteri Pengangkutan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith.
Mesyuarat tersebut membabitkan penyertaan sebanyak 224 delegasi termasuk pemimpin dan menteri dari ketiga-tiga negara bermula selama tiga hari sehingga Rabu ini. – UTUSAN ONLINE











