1,299 produk tidak berdaftar dengan KKM bernilai RM1.2 juta dirampas - Utusan Malaysia

1,299 produk tidak berdaftar dengan KKM bernilai RM1.2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Sebanyak 53 premis diserbu serta 1,299 produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dirampas melibatkan nilai keseluruhan hampir RM1.2 juta sepanjang Januari sehingga September lalu.

Serbuan dijalankan sepasukan 29 pegawai yang diketuai oleh Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kelantan, Nor Azila Ab. Rahman dari Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di setiap daerah negeri ini dalam 23 siri operasi.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Zaini Hussin berkata, sebanyak 53 premis diserbu termasuk 36 premis kosmetik, empat kedai rokok elektronik atau vape, tiga rumah kediaman, dua kenderaan , kedai pembekal makanan kesihatan, gymnasium, klinik perubatan swasta dan homeopati serta farmasi.

Katanya, tindakan serbuan ini dijalankan hasil maklumat serta aduan yang diterima daripada orang awam dan Agensi Penguatkuasaan Farmasi negeri lain sepanjang tempoh tersebut.

“Sebanyak 1,299 produk yang dirampas antaranya 534 produk yang tidak berdaftar, 36 produk mengandungi racun berjadual, 89 kosmetik tidak berdaftar dengan KKM, 635 cecair vape mengandungi racun berjadual, dua peranti digital dan bahan mentah yang bernilai hampir RM1.2 juta.

“Kesemua produk tersebut dijual di premis secara terbuka dan atas talian (online) untuk ubat kuat lelaki atau ubat perangsang, produk melangsingkan badan dan memutihkan kulit paling banyak dibeli pengguna selepas terpedaya dengan iklan yang ditawarkan oleh pembeli tersebut tanpa memikirkan kesan sampingan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, meskipun produk tersebut dijual pada harga yang tinggi, namun mereka tetap mengambil risiko kerana lebih percaya produk yang kononnya popular di pasaran selain menjanjikan kesan dalam tempoh yang cepat namun sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Tambahnya, kes yang melibatkan produk yang tidak berdaftar disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18(1)(a) iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 manakala kesalahan di bawah Akta Racun 2952 disiasat mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 Akta Racun 1952. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN