KUALA LUMPUR 3 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran serta kenaikan pangkat membabitkan 11 pegawai kanannya berkuat kuasa 1 November depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, mendahului senarai adalah Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad yang akan menjawat jawatan Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat Komisioner.
Menurutnya, tempat Mohd. Zakaria akan diambil alih oleh Urusetia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Salehhudin Abd. Rahman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
“Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi), Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sukardi Tulos akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.
“Kekosongan jawatan Sukardi akan diisi oleh Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa, JPJKK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Samsudin Basir manakala jawatan Samsudin akan diambil alih oleh Ketua JPJKK Perak, Senior Asisten Komisioner T. Selven,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Asmawati memaklumkan, Ketua Penolong Pengarah Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Skuad Taktikal Khas 1, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham pula akan bertukar ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sebagai Ketua JPJKK.
Ujarnya, tempat Mohamad pula akan digantikan oleh Ketua JPJKK Melaka, Asisten Komisioner Zulkifli Che Wail dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
“Selain itu, ACP Kawalan (D1), JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Dennis Lim Kwang Keng akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Penolong Pengarah Kepolisan Kawalan Dalaman (D1), JSJ Bukit Aman.
“Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Beh Eng Lai akan mengambil alih tempat Zulkifli sebagai Ketua JPJKK Melaka dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” katanya.
Tambah beliau, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Nor Omar Sappi akan memegang jawatan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Selangor.
“Pertukaran terakhir pula membabitkan Pegawai Turus KDNKA Sarawak, Deputi Superintenden Poge Ak Nyaon akan menggalas jawatan baharu sebagai Ketua Polis Daerah Bau, Sarawak,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










