KOTA KINABALU 14 Okt. – Mahkamah Majistret membenarkan tempoh reman terhadap 11 anggota dan pegawai polis termasuk seorang pesara di sambung tiga hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah dan melindungi aktiviti di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sejak 2014 hingga kini.
Majistret Cindy Mc. Juce Balitus membenarkan permohonan reman itu yang berakhir 17 Oktober ini, di Lokap Berpusat, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.
Permohonan reman berkenaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Faliq Basirudin bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dijalankan.
Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan rasuah itu ketika bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sekitar negeri ini dengan menerima transaksi wang secara berkala iaitu harian, mingguan dan bulanan bertujuan melindungi pesalah bagi kes dadah di bawah akta berkenaan.
Isnin lalu, SPRM menahan 12 suspek melibatkan 11 tangkapan di Sabah dan seorang di Sibu, Sarawak antara pukul 2 petang hingga 8 malam.
Operasi tangkapan di negeri ini melibatkan sembilan suspek di Kota Belud, seorang di Kota Kinabalu dan seorang di Beluran. – UTUSAN ONLINE










