PUTRAJAYA 14 Okt. – Peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang bakal dijalankan pada 16, 17, 18, 22 dan 23 Oktober ini akan menyaksikan sebanyak 10,078 calon mendudukinya di 257 pusat peperiksaan yang akan dibuka di Malaysia dan Kemboja.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 1,102 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan itu berjalan lancar seperti dijadualkan.
“Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan STAM 2018 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung,” kata kementerian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.
“Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya. – UTUSAN ONLINE
INFOGRAFIK
Butiran calon STAM 2018:
Bil Jenis Calon Jumlah Calon
1. Calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan 2,724 (27.0% )
2. Calon sekolah Menengah Agama Negeri 4,896 (48.6% )
3. Calon Sekolah Menengah Agama Rakyat 851 (8.4% )
4. Calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan 57 (0.6% )
5. Calon Persendirian 1,428 (14.2% )
6. Calon Luar Negara(Kemboja) 122 (1.2% )
Jumlah 10,078 (100%) . – UTUSAN ONLINE











