AROMA kopi menusuk ke hidung sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kafe Yellow Brick Road di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Di satu sudut dalam kafe tersebut kelihatan seorang pemuda berketurunan Cina mengenakan apron sambil memegang satu cawan kecil kopi di tangan kirinya.
Kemudian tangan kanan Jason Loo Hsien Yuen, 31, pantas mengambil sebuah bekas aluminium yang mengandungi susu dan dituang ke dalam cawan tersebut.
Sambil menuangkan susu pemuda yang mesra dengan panggilan nama Jason itu menggerakkan perlahan-lahan bekas logam yang dipegangnya.
“Semasa susu ini dituang beberapa pergerakan harus dilakukan untuk menghasilkan corak-corak yang menarik pada permukaan air kopi,” katanya ketika ditemui. Jason menjelaskan, itu adalah rutin harian sebagai barista di kafe miliknya sekiranya ada pelanggan yang ingin menikmati secawan kopi.
Barista ialah panggilan untuk seseorang yang membuat dan menyajikan kopi kepada pelanggan.
Mula melibatkan diri sebagai barista sejak enam tahun lalu, Jason kini telah dua kali dinobatkan juara barista Malaysia dalam Kejohanan Barista Malaysia (MBC).
Dia juga telah mewakili negara sebanyak dua kali ke pertandingan Kejohanan Barista Dunia (WBC) iaitu di Seattle, Amerika Syarikat pada tahun 2015 dan di Seoul, Korea Selatan tahun lalu.
Anak jati Kuala Lumpur itu menjelaskan, dia merasakan keputusannya untuk menjadi seorang barista adalah sesuatu yang tepat.
“Sebelum ini tidak terdetik langsung untuk menjadi seorang barista kerana saya lebih berminat bidang kek dan roti.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia saya kemudiannya melanjutkan pelajaran di Malaysian Institute of Baking (MBI) di Petaling Jaya, Selangor selama tiga tahun untuk mempelajari pembuatan kek dan roti,” jelasnya.
Jatuh cinta
Segala-galanya berubah selepas dia melancong ke Perth, Australia pada tahun 2010.
Ketika di Perth, dia melihat banyak kafe yang menjual kopi. Dia juga tidak melepaskan peluang menikmati kopi-kopi tersebut sebelum mula jatuh cinta dengan minuman tersebut.
Selepas itu dia menjadi antara salah seorang penggemar kopi. Dua tahun selepas sekembalinya dari Perth, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat baharu untuk belajar menjadi seorang barista.
“Sebelum itu saya bekerja di sebuah restoran yang menghidangkan makanan Itali. Tetapi keinginan untuk saya menjadi barista semakin menebal. “Saya mengambil keputusan berhenti kerja di restoran tersebut. Kemudian saya bekerja di kafe kopi The Red Beanbag di Publika, Kuala Lumpur untuk menjadi seorang barista,” katanya.
Tanpa sebarang ilmu dan kemahiran, Jason memulakan kembaranya untuk menjadi seorang barista dengan mencuci cawan dalam dua bulan pertama. Dua bulan selepas itu Jason diajar cara-cara penyediaan kopi.
“Saya diajar cara-cara mengekstrak kopi daripada biji sehingga menjadi minuman. Selain itu, saya juga diajar cara-cara untuk menghasilkan corak seni untuk secawan kopi.
“Selain diberi tunjuk ajar oleh pemilik kafe saya juga mempelajari kaedah untuk menghasilkan kopi ini melalui YouTube,” jelasnya.
Pada tahun 2013, untuk mencabar dirinya menjadi seorang barista yang bagus dia telah menyertai satu pertandingan Barista Malaysia.
Kejohanan itu juga turut disertai oleh 16 barista lain yang berpengalaman dan Jason sendiri tidak menyangka dia dinobatkan sebagai juara untuk pertandingan tersebut.
Dua tahun selepas itu, Jason menyertai Kejohanan Barista Malaysia (MBC) yang diadakan buat pertama kali setelah tertubuhnya Malaysian Specialty Coffee Association (MSCA).
“Saya menyertai MBC tersebut dan diangkat sebagai juara.
“Kejuaraan tersebut juga telah membolehkan saya untuk mewakili Malaysia untuk bertanding di WBC yang diadakan di Seattle, Amerika Syarikat pada tahun yang sama,” jelasnya.
Dia merupakan wakil Malaysia yang pertama bertanding di WBC. Bagi kejohanan WBC yang pertama kali disertai oleh Jason, dia telah berjaya menduduki tempat ke-27 daripada 48 barista dari seluruh dunia.
Wakili negara
Jason mengakui, pertama kali bertanding di WBC bersama barista-barista hebat lain dari seluruh dunia selain berasa teruja dia juga turut gementar dan merasa rendah diri.
“Bagi saya kejohanan WBC yang disertai pada tahun 2015 itu memberi banyak pengalaman kepada saya untuk menjadi seorang barista yang hebat,” katanya. Selepas itu, Jason terus menyimpan hasrat untuk menjadi wakil Malaysia lagi di WBC.
Tahun lalu, Jason sekali lagi menyertai MBC dan dia telah diangkat sebagai juara untuk kejohanan tersebut.
Dengan kemenangan itu, Jason sekali lagi mendapat peluang untuk mewakili Malaysia ke WBC pada tahun tersebut yang diadakan di Seoul, Korea Selatan.
“Dengan pengalaman pertama menyertai WBC ia telah memberi keyakinan kepada saya untuk beraksi lebih baik apabila mendapat tempat kedua.
“Bagi WBC 2017 saya berjaya sehingga ke peringkat separuh akhir dan mendapat tempat ketujuh daripada 50 peserta. Saya berasa sedikit kecewa kerana hanya selangkah lagi untuk beraksi di peringkat akhir tetapi tidak dapat melakukannya. Peserta yang menduduki tempat pertama sehingga keenam sahaja yang layak untuk beraksi pada pusingan akhir WBC,” katanya.
Jason menjelaskan, untuk sesebuah pertandingan barista konsepnya semua sama untuk setiap peserta.
Setiap barista dikehendaki menyediakan empat espresso, empat espresso bersama campuran susu dan empat minuman signatur berasaskan kopi dan kesemua itu perlu dihasilkan dalam masa 15 minit.
“Juri akan menilai rasa kesemua kopi yang dihasilkan, oleh itu kesetiap kopi haruslah mempunyai rasa yang sama.
“Untuk minuman signatur setiap barista haruslah kreatif untuk menghasilkan kopi menggunakan campuran-campuran tertentu,” ujarnya.
Pada pandangan Jason, untuk bergelar barista tidak semudah yang disangka.
Barista haruslah mempunyai keghairahan dan kemahiran bagi menghasilkan secawan kopi yang enak serta menarik kepada pelanggan.
“Sebagai barista, mereka perlu mempunyai kemahiran mengendalikan bar espresso dan pada masa sama mempelajari teknik menghasilkan pelbagai jenis kopi seperti latte, cappucino, long black, macchiaoto dan lain-lain.
“Barista bukan hanya sekadar menghasilkan kopi untuk para pelanggan. Tetapi barista juga bertanggungjawab untuk menerangkan tentang keistimewaan sesuatu kopi kepada pelanggan sekiranya mereka ingin mengetahuinya,” kata Jason.
Dia yang juga pemilik kafe Yellow Brick Road menjelaskan, setiap bulan dia akan menggunakan jenis biji kopi yang berbeza.
Antara biji kopi yang digunakan ialah kopi Brazil, kopi Colombia, kopi Ethiopia dan lain-lain lagi.
Setiap kopi mempunyai rasa yang berbeza dan barista haruslah mahir cara-cara untuk mendapatkan rasa sebenar setiap biji kopi yang digunakan.











