SAUDARA PENGARANG, BEBERAPA hari lalu, saya dan keluarga singgah makan di foodcourt Giant Batu Caves sambil membeli-belah barang basah dan barang keperluan lain.
Kami makan yong taufu tetapi saya sangat terkejut bila mahu membayar kerana untuk dua dewasa dan seorang kanak-kanak dicaj RM32 sedangkan apa yang diambil itu sekitar 15 ketul bahan biasa, satu sayur dan secucuk telur puyuh.
Jika beli di pasar malam, sebanyak itu hanya sekitar RM10 dan jika dibeli barang mentah sendiri hanya sekitar RM4 untuk bilangan yong taufu kami ambil.
Mahu atau tidak, terpaksa bayar juga sebab sudah ambil dan sudah dimasak. Rasanya biasa sahaja tetapi harganya hampir sama dengan dua ekor ayam golek.
Saya tidak pasti harga naik disebabkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau memang gerai itu menjual makanan dengan harga mahal. Saya cuma berharap pihak berwajib memantau harga makanan di gerai-gerai foodcourt pasar raya besar sebegini.
LOYA TEKAK
Batu Caves









