Wonder Women Wilayah - Utusan Malaysia

Wonder Women Wilayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH – Atlet Wilayah Persekutuan, Jabriella ­Teo Samuel mengakhiri penampilannya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) dengan penuh bergaya apabila memahat rekod baharu kebangsaan dalam acara angkat berat kate­gori snatch bawah 75 kilogram (kg) semalam.

Jabriella berjaya melakukan angkatan ketiga seberat 86kg mengatasi 1kg rekod kebangsaan dan kejohanan milik atlet Johor, Arisha Farra Erwin yang dilakukannya pada Sukma 2010 di Melaka.

Anak kelahiran Wilayah Persekutuan itu menepati ramalan sebagai pemenang pingat emas manakala atlet Kelantan, Nor Sofia Mohd. Nordin (70kg) dan atlet Terengganu, Amna Yasmin Young Habsullah Young (57kg) masing-masing meraih perak dan gangsa pada saingan di Dewan Merdeka, Majlis Daerah Tapah.

Mengulas lanjut, Jabriella yang memiliki darah Sabah daripada bapanya, mahu menghadiahkan kejayaan cemerlang itu kepada ibu bapanya, Teo Kui Song dan Samuel Bindigan yang tidak putus-putus memberikan sokongan dalam kariernya sejak terlibat dalam sukan angkat berat lapan tahun lalu.

Jabriella yang digelar Wonder Women turut memenangi pingat emas acara clean&jerk dengan membuat angkatan maksimum 100kg tetapi gagal memecahkan rekod Sukma (102kg) dan rekod kebangsaan (103kg).

“Perasaan saya bercampur baur. Saya gembira kerana dapat memperbaharui rekod kebangsaan dalam kategori snatch dan sedih kerana gagal membuat rekod baharu kebangsaan bagi acara clean&jerk.

“Sasaran saya adalah mahu memecahkan kedua-dua rekod ini (snatch dan clean&jerk) tetapi tetap berpuas hati kerana dapat melakukan satu sahaja pada pentas terakhir Sukma saya.

“Apapun saya puas membuat empat penampilan Sukma, akhirnya saya dapat meninggalkan temasya ini dengan satu rekod yang boleh dibanggakan. Saya mahu memberikan kejayaan kepada ibu bapa yang sentiasa memberikan soko­ngan.

“Sejujurnya, saya sedikit tertekan kerana bimbang gagal memecahkan rekod dan sukar untuk tidur sejak dari semalam (kelmarin) tetapi kehadiran mereka selain bantuan jurulatih serta pengurus telah banyak membantu saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagi pemenang pingat perak acara clean&jerk, ia menjadi milik Nor Sofia (88kg) manakala pingat gangsa menjadi milik Amna Yasmin (75kg).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN