Wartawan Kosmo! meninggal dunia akibat kemalangan - Utusan Malaysia

Wartawan Kosmo! meninggal dunia akibat kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Wartawan sambilan akhbar Kosmo!,  Samsul Bahari Mohamed, 46, yang mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan semalam, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini pagi tadi.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai wartawan sambilan sejak tahun 2006 menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4 pagi semasa menerima rawatan.

Allahyarham yang mesra dengan panggilan Samjel (singkatan Samsul Jeli) dalam kalangan petugas media Kelantan meninggalkan seorang isteri, serta tujuh orang anak yang berusia antara tujuh hingga 26 tahun.

Jenazah akan dibawa ke rumah ibunya di Kampung Kulim, Bukit Lakota, Jeli untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gemang selepas solat Jumaat hari ini.

Sepanjang bersama akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia, Allahyarham banyak membuat liputan berita yang menarik perhatian masyarakat.

Samsul Bahari berkhidmat di bawah empat Penolong Ketua Biro Kosmo! dan kali terakhir laporannya disiarkan di muka hadapan akhbar berkenaan ialah pada 7 Ogos 2017 berhubung penerokaan Hutan Simpan Sokor di Kampung Sokor, Tanah Merah untuk perlombongan emas.

Dalam kejadian pada pukul 5.28 petang semalam, Allahyarham mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 90.3 Jalan Kota Bharu- Machang- Grik berhampiran Kampung Gemang, Jeli.

Samsul Bahari Mohamed, 46, dilaporkan kritikal selepas mengalami pendarahan pada bahagian kepala, remuk tempurung lutut kiri dan patah lengan kiri. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN