SERI MANJUNG – Seorang wanita yang cedera parah akibat ditikam dalam kejadian samun di kawasan kebun betik dan tembikai, Batu 40, Beruas dekat sini meninggal dunia semalam selepas seminggu menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mangsa, Norehan Mad Saad, 31, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada pukul 1 petang semalam selepas dirawat di Hospital Seri Manjung sebelum ini.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas dia memerlukan pemerhatian lanjut.
“Keterangan doktor pakar hati pada Isnin lalu mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah sehingga 50 peratus di hati kanannya dan terpaksa dibuang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurutnya, mangsa dipercayai ditikam suspek beberapa kali di bahagian hati kanan sehingga mengakibatkan kecederaan teruk.
“Bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan di hospital sama bagi mengetahui punca kematian,” jelasnya.
Dalam kejadaian pada pukul 8.25 pagi Rabu lalu, mangsa yang bekerja di kebun tersebut ditikam dalam satu kejadian samun.
Tambah Muhammad Hanif, terdapat tiga kesan tikaman pada badan mangsa iaitu pada bahagian kanan dan kiri perut serta lutut kiri.
“Suspek disyaki warga Indonesia dan melarikan wang tunai RM200, kad pengenalan dan lesen memandu milik mangsa.
“Polis telah menahan lima lelaki warga Indonesia untuk membantu siasatan kes tersebut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE











