TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diumumkan sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia BAM (BAM) yang baharu bagi menggantikan penaung terdahulu, Datin Seri Rosmah Mansor.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berharap kecekalan serta kehadiran Timbalan Perdana Menteri wanita pertama negara itu bakal menjadi contoh kepada pemain badminton negara, jurulatih serta pegawai BAM untuk terus mencabar batasan dalam mengecapi kejayaan.
“Sudah pasti beliau akan melibatkan diri secara langsung dengan sukan ini. Kami yakin sukan badminton akan lebih menyerlah dengan adanya beliau sebagai penaung baharu menjelang Sukan Olimpik 2020 di Jepun,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Norza juga percaya Wan Azizah sentiasa peka dengan perkembangan badminton negara dan mampu memberikan aura berbeza menjelang misi besar negara pada Sukan Olimpik 2020.









