[VIDEO] Perkhidmatan e-hailing Riding Pink Passenger untuk penumpang wanita - Utusan Malaysia

[VIDEO] Perkhidmatan e-hailing Riding Pink Passenger untuk penumpang wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Kaum wanita tidak perlu lagi merasa bimbang untuk menggunakan perkhidmatan ala grab car kerana syarikat e-hailing Riding Pink Passenger menyediakan pemandu wanita untuk mengambil penumpang wanita.

Pengurus Projek Riding Pink Passenger, Elina Ariffin berkata, kaedah yang diperkenalkan oleh syarikat ini lebih selamat bagi kedua-dua belah pihak, sama ada pemandu atau pun penumpang.

“Sejak kebelakangan ini, kita melihat berlakunya tragedi yang membabitkan soal keselamatan. Jadi, daripada senario itu, kita tubuhkan syarikat e-hailing Riding Pink Passenger.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Konsep kami adalah menyediakan pemandu wanita untuk penumpang wanita sahaja dan kami memperkenalkan konsep membuat tempahan awal atau pre-booking supaya identiti penumpang dapat dikenal pasti dan sahih jantinanya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat e-hailing Riding Pink Passenger tidak menerima tempahan serta merta sebaliknya kita menggunakan pendekatan pra tempahan di mana penumpang perlu membuat tempahan sejam lebih awal bagi memberi peluang kepada pemandu untuk mengenal pasti destinasi yang dituju dan siapakah penumpang yang membuat tempahan,” katanya.

Katanya lagi, penumpang boleh membuat tempahan dengan melayari laman sesawang Riding Pink Passenger atau pun memuat naik aplikasi e-hailing.

Elina menambah, sekiranya tempahan perjalanan seseorang penumpang itu dibatalkan oleh pemandu, pihak syarikat Riding Pink Passenger akan mencari pemandu gantian.

“Soal pembatalan tempahan oleh pemandu, memandangkan pemandu kami juga adalah wanita, penumpang tidak perlu bimbang kerana pemandu gantian akan mengambil alih destinasi yang berkenaan,” ujarnya.

Bagi menambahkan lagi keyakinan golongan wanita yang mahu menggunakan perkhidmatan e-hailing Riding Pink Passenger ini, Elina memberitahu, semua pemandu yang berdaftar dengan syarikat, perlu menjalani saringan dan semakan latar belakang bagi memastikan tiada rekod jenayah.

“Semua pemandu wajib menjalani saringan dan semakan latar belakang dan ini dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

e-hailing riders pink
 

Sementara itu, satu perkongsian yang dibuat oleh seorang pemandu Riding Pink Passenger, Noorsuriaty Othman, 35, menceritakan pengalamannya menjadi pemandu separuh masa yang mana, ia amat menyeronokkan selain daripada dapat menambah pendapatan bulanan.

“Saya seronok menjadi pemandu Riding Pink Passenger kerana semua penumpang saya adalah wanita. Itu pastinya membuat saya rasa lebih selesa dan selamat.

“Apabila konsep yang diguna pakai ialah tempah sejam lebih awal, saya berpeluang mengatur jadual tempahan. Ternyata ini memudahkan saya untuk menentukan waktu mengambil penumpang dan tidak perlu tergesa-gesa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini