KUALA LUMPUR 12 Sept. – Bekas penyanyi kumpulan rock, Mel Wings dan Ali Terra Rossa hari ini menyerikan Majlis Tamankan Hati Keluarga Utusan dengan berkongsi pengalaman penghijrahan mereka di hadapan lebih 300 warga Utusan Melayu (M) Berhad.
Dalam sesi perkongsian selama kira-kira satu jam itu, kedua-dua bekas penyanyi itu menceritakan bagaimana mereka boleh terbuka hati dan mula menjinakkan diri dengan aktiviti keagamaan, seterusnya memilih jalan itu sebagai cara hidup dan meninggalkan dunia glamor artis.
Menceritakan punca penghijrahannya, Ali berkata, anak-anaknya merupakan pendorong utama perubahannya ke arah yang lebih baik itu.
“Apabila saya lihat anak-anak saya membesar, timbul satu kerisauan di dalam hati iaitu apa yang anak-anak saya akan jadi apabila meningkat dewasa nanti.
“Bila timbul kerisauan ini, saya ambil satu keputusan iaitu untuk berubah. Langkah pertama yang saya ambil adalah dengan memilih kawan-kawan untuk sama-sama ke majlis ilmu. Alhamdulillah Allah SWT beri satu kemanisan serta kefahaman yang lebih mendalam terhadap agama selepas itu,” katanya dalam Majlis Tamankan Hati Keluarga Utusan di sini hari ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Surau Al-Huda Utusan, Mohd. Radzi Mohd. Zin dan diteruskan dengan sesi perkongsian tersebut.
Sementara itu, Mel berkata, dia bersyukur kerana Allah SWT memberi peluang kepadanya untuk menemui pintu taubat sebelum menemui ajal.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang tegas tentang agama, arwah ibu dan ayah saya mempunyai pegangan agama yang kuat. Jadi asas itu sudah ada.
“Saya masuk kumpulan Wings selama setahun sahaja kemudian saya keluar dan terus berdakwah. Alhamdulillah kesedaran itu sampai cepat dan saya tidak ‘hanyut’ terlalu jauh.
“Sehingga kini, saya pegang kata-kata ayah saya sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir iaitu untuk tidak tinggal solat. Solat itu adalah titik tolak pertemuan agung kita dengan Pencipta, itu saya pegang,” katanya.









