[VIDEO] Kastam patahkan cubaan seludup haiwan dilindungi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kastam patahkan cubaan seludup haiwan dilindungi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 22 Sept. – Dua ekor anak orang utan berusia enam bulan dan 435 ekor haiwan dilindungi termasuk unggas bernilai lebih RM500,000 berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di perairan Kuala Perlis-Langkawi, semalam.

Tiga lelaki warga Indonesia berusia 40 sehingga 50 tahun turut ditahan oleh anggota dari cawangan Penguatkuasaan Kastam Marin Kuala Perlis, ketika membuat rondaan di perairan Malaysia-Thailand, pukul 12.25 tengah malam itu.

Haiwan yang dilindungi tersebut, dikatakan diseludup dari Sumatera, Indonesia, dan melalui perairan negara ini sebelum akhirnya, transit di Thailand, adalah untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, pihaknya yang membuat rondaan itu, melihat sebuah bot yang dinaiki tiga suspek berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahannya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 39 buah kotak yang terdiri daripada 435 ekor haiwan dan unggas seperti dua ekor anak orang utan; anak musang Albino; burung Cenderawasih; burung Alba Cockatoo; anak buaya tembaga; burung Electus Parrot; burung Bayan Nuri dan burung Kuang Raya Betina.

“Mereka (suspek) gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang dibawa ketika pemeriksaan dilakukan. Suspek tersebut dikatakan sudah menempuh perjalanan selama dua hari tiga malam sebelum ditahan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, bot yang ditahan bersama haiwan berkenaan dibawa balik ke pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Katanya, suspek yang ditahan itu akan direman sebelum dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) di bawah Seksyen 68(1)(a) iaitu memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka (suspek) boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-keduanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN