KUCHING 29 Sept – Seramai 5,000 penonton tempatan dan luar negara membanjiri The Waterfront, Grand Margherita Hotel di sini sempena Kuching Waterfront Jazz Festival 2018 (KWJF2018) yang berlangsung dua hari bermula 28 September 2018 dan berakhir malam tadi.
Konsert yang memasuki tahun kedua penganjuran itu digegarkan barisan nama-nama besar dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa termasuk Dayang Nurfaizah dari Malaysia, Tulus (Indonesia), Aisyah Aziz (Singapura), Natalie Gillespie Band (Australia), Carmen Souza Trio (Portugal) dan ramai lagi.
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak merangkap pengasas KWJF, Soedirman Aini gembira dengan sambutan menggalakkan yang diberikan peminat sempena penganjuran pada kali ini.
Katanya sambutan memberangsangkan itu membuktikan KWJF2018 menjadi acara yang dinanti-dinantikan setelah berjaya dianjurkan buat kali pertama pada tahun lalu.
“Lebih menggembirakan apabila ada peminat luar Sarawak, seperti dari semenanjung Malaysia, Indonesia, Brunei dan Sabah yang datang ke konsert ini semata-mata mahu melihat artis kesayangan mereka membuat persembahan.
“Saya dimaklumkan ada peminat yang datang dari Pontianak, Indonesia dengan menaiki dua buah bas persiaran semata-mata ingin melihat sendiri acara bertaraf antarabangsa ini,” katanya.
Soedirman menambah, ekoran kejayaan penganjuran KWJF2018, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak telah menyuarakan sokongan agar acara yang sama dapat dianjurkan dengan lebih meriah pada tahun hadapan.
“Kami berharap KWJF dapat diteruskan lebih meriah dengan menampilkan lebih ramai pemuzik, termasuk satu atau dua selebriti dari Barat pada tahun akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Video oleh MOHAMMAD AL FAIZAL ABDUL KARIM










