KOTA BHARU 29 sept. – Sebanyak 20 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Raja, Jalan Sri Cemerlang, di sini malam ini.
Video oleh MUHAMMAD HASIF IDRIS
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu, seramai 30 anggota bomba melibatkan empat jentera bergegas ke tempat kejadian.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung, Muhammad Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.06 malam dan tiba lima minit kemudian.
“Sewaktu tiba di tempat kejadian, kita dapati kebakaran sudah berlaku hampir 60 peratus dan api semakin marak akibat kesemua rumah di kawasan tersebut dibina daripada struktur kayu.
“Kita dapati 10 rumah berpenghuni manakala, 10 rumah lagi tidak berpenghuni. Kebakaran dapat dikawal tiga puluh minit kemudian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhammad Farid, semua mangsa dilaporkan selamat dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE










