KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyeru agar penggiat industri tekstil, pakaian dan aksesori lebih kompetitif dalam bidang masing-masing dengan melaksanakan nilai tambah yang lebih baik menerusi pelbagai proses dan teknologi.
Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak berkata, kerajaan berhasrat untuk membina ekosistem lebih kukuh dan komprehensif yang turut memberi fokus kepada bakat, kemahiran dan inovasi.
“Penggunaan teknologi Industri 4.0 termasuk internet untuk segala-galanya (IoT) dilihat dapat memberi impak menyeluruh kepada industri tekstil dan pakaian, malah transformasi digital akan membuka ruang terhadap model perniagaan lebih cekap.
“Ia sekali gus merangsang ke arah inovasi, peningkatan produk dan produktiviti serta pertumbuhan yang lebih mapan.
“Bagaimanapun, kami memahami peralihan ke arah era digital berkenaan tidak mudah tetapi transformasi ini perlu dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! selepas Persidangan Fesyen dan Rekaan 2018 yang diadakan di Menara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin dan Pengasas Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Andrew Tan.
Selain itu, Azman menjelaskan, MIDA berharap perkembangan yang lebih positif terhadap industri ini pada tahun hadapan disokong dengan pelbagai usaha ke arah global menerusi pengalaman luas para pereka tempatan.
“Kami yakin lebih ramai usahawan tekstil dan fesyen tempatan mampu menjadi penggiat di peringkat antarabangsa dengan melihat bakat yang ada, bagaimanapun terdapat pelbagai langkah praktikal yang perlu diperbaiki dalam meningkatkan perniagaan mereka.
“Justeru itu, kami menyeru agar mereka mengambil peluang fasiliti yang ditawarkan MIDA termasuk geran padanan di bawah Dana Pelaburan Strategik Domestik, Automasi Elaun Modal (ACA) sebagai insentif dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti syarikat,” ujarnya.











