LONDON 18 Sept. – Legenda Manchester United, Rio Ferdinand percaya bekas pasukannya tidak cukup bagus untuk menjuarai Liga Juara-Juara musim ini .
Komen pedas itu dibuat sehari sebelum Red Devils membuka kempen Kumpulan H dengan menentang Young Boys di Bern, Switzerland esok.
Selain Young Boys, United, yang tewas dua kali dan menang tiga dalam lima aksi pertama Liga Perdana Inggeris musim ini turut diundi bersama Juventus serta Valencia.
Kali terakhir United mara ke final kejohanan kelab elit Eropah itu adalah pada 2011, namun Ferdinand tidak melihat mereka mampu mengulangi pencapaian tersebut musim ini.
“Saya tidak fikir mereka cukup bagus. Asas setiap pasukan besar untuk merangkul kejuaraan utama adalah benteng kukuh.
“Ketika ini, pertahanan United tidak cukup kuat dan tidak diperkuatkan sehingga saya tidak melihat mereka melakukan tugas dengan baik.
“Mujur mereka ada ‘Superman’ (David de Gea) di gawang. Kalau tidak, saya tidak tahu apa jadi kepada United.
“Apakah (Victor) Lindelof berfungsi? Tidak. Apakah (Eric) Bailly berfungsi? Tidak. (Chris) Smalling dan (Phil) Jones juga belum menunjukkan potensi seperti ketika kali pertama tiba di sini.
“United ada dua pemain sayap (Ashley Young dan Antonio Valencia) yang kadangkala lebih bagus daripada pertahanan,” kata bekas bek tengah United itu kepada BT Sport. – AGENSI











