KUALA NERUS 18 Sept. – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) hari ini bagi mengukuhkan jaringan kerjasama.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, selain usaha memartabatkan lagi perbankan Islam, inisiatif itu diambil bagi merealisasikan hasrat UniSZA untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran pelajar Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan (FESP).
Menurut beliau, kerjasama strategik itu melibatkan tiga skop utama iaitu penyelidikan, perkongsian dan aktiviti-aktiviti berasaskan akademik antara kedua-dua pihak yang dipersetujui bersama.
“Kita berharap jalinan kerjasama dengan AIBIM ini dapat menghasilkan graduan berkemahiran yang mudah diterima masuk dalam industri perbankan terutama perbankan Islam di dalam dan luar negara. Ini adalah satu kekuatan untuk UniSZA,” katanya selepas memeterai MoU di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Presiden AIBIM, Mohamed Rafe Haneef; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad; Dekan FESP UniSZA, Prof. Madya Dr. Wan Norhayate Wan Daud serta Pengarah Eksekutif AIBIM, Suri Hanim Mohamed.
Ahmad Zubaidi berkata, kerjasama itu secara tidak langsung dapat memperluaskan jaringan UniSZA ke luar negara sekali gus memberi lebih peluang untuk menyebarluaskan industri perbankan Islam.
Sementara itu, Mohamed Rafe berkata, AIBIM merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menggalakkan sistem dan amalan perbankan Islam di negara ini dengan ahli-ahlinya turut menitik beratkan sumbangan kepada masyarakat antaranya dalam aktiviti berkaitan kebajikan, sahsiah serta akademik.
“AIBIM mempunyai 26 keahlian bank yang terdiri daripada 10 bank domestik, lima institusi pembangunan kewangan, 10 bank asing yang diperbadankan di Malaysia dan satu institusi kewangan antarabangsa.
“Ini merupakan kerjasama pertama AIBIM dengan institusi pendidikan tinggi di negara ini
untuk bersama dalam melahirkan graduan yang boleh meningkatkan lagi prestasi institusi perbankan Islam di masa depan,” katanya.-UTUSAN ONLINE










