KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu berasa kesal atas tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang bertindak keluar daripada UMNO.
Ahmad Zahid berkata, tindakan Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli dan Anifah (Ahli Parlimen Kimanis) tidak wajar kerana mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang diberikan oleh UMNO.
Jelas beliau, keputusan kedua-dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu meninggalkan parti yang ketika ini sedang berhadapan dengan ujian bukanlah sikap yang terpuji dan boleh diteladani.
“Dalam keadaan ini, saya ingin nyatakan bahawa atas alasan apa pun tindakan tersebut sangat tidak wajar dilakukan apatah lagi beliau dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang UMNO berikan.
“Kita perlu mempunyai sikap yang ikhlas dan memiliki daya juang yang tinggi dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti. Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini. – K! ONLINE










