UMNO Kelantan minta ahli terus istiqomah - Utusan Malaysia

UMNO Kelantan minta ahli terus istiqomah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Sept. – Badan Perhubungan UMNO Kelantan hari ini meminta semua ahlinya supaya terus istiqomah dan meneruskan perjuangan di saat menghadapi ujian besar apabila bekas pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar parti malam tadi.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Mohd. Fatmi Che Salleh berkata, biarpun sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut namun setiap pendokong parti itu harus menghadapi cabaran yang dihadapi demi perjuangan untuk membela agama dan bangsa.

Beliau berkata, apa jua alasan yang diberikan oleh Mustapa khususnya mengenai hala tuju parti tidak dapat diterima oleh pihaknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hala tuju parti sentiasa berubah daripada satu kepimpinan kepada kepimpinan yang lain tetapi wadah perjuangan parti untuk agama, bangsa dan tanah air sejak tahun 1946 tidak pernah berubah.

“Bila-bila masa hala tuju parti berubah dan tidak perlu keluar parti pun. Kita mesti mendokong parti dan hala tuju mengikut keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malam tadi, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar UMNO kerana hala tuju yang diambil oleh UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang dipegangnya.

Beliau dilaporkan berkata, secara prinsipnya, pendirian politiknya adalah UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

Mohd. Fatmi berkata, UMNO adalah wadah terbaik untuk meneruskan perjuangan untuk membela rakyat.

“Waima apa alasan sekali pun, bagi kita perjuangan melalui UMNO adalah wadah yang terbaik, wajib kita teruskan, dan sama-samalah kita istiqomah dengan perjuangan kita yang dari dulu, kini dan selamanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini