KUALA LUMPUR 19 Sept. –UMNO kini berhadapan dengan krisis kepemimpinan dalaman dan bakal menghadapi masa hadapan tidak menentu ekoran pengumuman keluar parti oleh dua pemimpin besar dan jika keadaan itu terus berlanjutan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr. Jeniri Amir berkata, pengumuman kedua-dua pemimpin tersebut memberi gambaran perjuangan mereka tidak lagi sehaluan dengan parti

menyebabkannya memilih untuk keluar.
“Situasi itu juga menunjukkan perubahan yang dilakukan UMNO untuk menarik kembali dan memulihkan sokongan rakyat tidak berjaya dan sentimen rakyat turut memberi kesan kepada kepemimpinan parti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jeniri yang turut menggambarkan UMNO kini bagaikan sebuah rumah yang sedang dimusnahkan oleh anai-anai berkata, hanya masa akan menentukan riwayat parti terbabit.
Pandangan sama turut dinyatakan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. P. Sivamurugan yang berkata, kesan pengumuman kedua-dua pemimpin UMNO itu memberi impak kepada masa depan parti.
“Saya rasa ada sekumpulan yang tidak bersetuju dengan gerak kerja kepemimpinan hari ini dan ini kebetulan (berlaku) selepas Muktamar Pas.
“UMNO sedang berhadapan dengan krisis kepemimpinan dalaman yang jika berterusan akan menzahirkan keadaan tidak menentu dalam parti,” katanya.









