KUALA LUMPUR 25 Sept. – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuntutan hak asasi manusia oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai sesuatu yang keterlaluan.
Presiden PKR itu berkata, dirinya senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu tersebut, namun begitu, beliau menyarankan supaya undang-undang berkaitan kes liwat dipinda kerana tidak berasaskan agama Islam.
Walau bagaimanapun, Anwar menegaskan, saranan supaya undang-undang liwat dipinda tidak bermakna beliau menyokong agenda songsang golongan LGBT.
“Daripada sikap kerajaan Pakatan Harapan, Dr. Mahathir sendiri telah beri jawapan yang agak tegas.
“Saya bila ditanya tentang undang-undang khusus sodomi atau liwat, saya jawab ini bukan perundangan Islam yang dibawa, ini adalah perundangan Inggeris yang dibawa ke India dan dipinjamkan oleh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sempena Syarahan Negarawan 2018 bertajuk Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Sementara itu Anwar menegaskan, kerajaan PH akan mempertahankan bahasa Melayu, malah bertekad untuk mempertingkatkan kedudukannya.
Beliau berkata, perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh diubah kerana telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu jelasnya, tidak bermakna penguasaan bahasa lain seperti Inggeris dan Mandarin perlu diketepikan kerana ia merupakan bahasa ilmu serta ekonomi.
Dalam perkembangan lain, Anwar melihat tiada sebab sekolah jenis kebangsaan perlu ditutup bagi menyeragamkan sistem pembelajaran negara kerana apa yang penting ialah bagaimana untuk mempertingkatkan mutu dan kualiti sekolah di Malaysia.
“Soal aliran jenis kebangsaan ini menjadi medan politik sengit selama 100 tahun. Saya tidak fikir wajar untuk pentadbiran baharu memulakan sesuatu yang tidak dapat dirungkai oleh Datuk Onn (Datuk Onn Jaafar), Tunku Abdul Rahman, Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) sehinggalah sekarang,” katanya.











