KUANTAN – Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden Associated Country Women Of The World (ACWW).
Pemilihan berkenaan akan berlangsung pada persidangan ACWW yang dijadualkan pada April tahun depan di Melbourne, Australia.
Baginda menerima saingan dua calon dari Afrika Selatan yang turut akan bertanding pada pemilihan jawatan bagi tempoh tiga tahun itu.
Tunku Azizah bertitah, baginda menerima pencalonan itu daripada persatuan berkenaan yang meminta persetujuannya untuk bertanding untuk jawatan berkenaan.
“Pertubuhan berkenaan sebenarnya sudah dua kali mencalonkan saya untuk jawatan itu sejak enam tahun lalu namun saya menolak kerana fikirkan komitmen yang perlu diberikan di seluruh dunia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang, Datin Seri Burhah Mohammed dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Tunku Azizah bertitah, selepas kali ketiga dicalonkan dan mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, selain mengambil kira beberapa faktor lain, baharulah baginda menerima pencalonan kali ini.
Untuk rekod ACWW adalah organisasi antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom bagi wanita luar bandar dan bandar, dengan keahlian sembilan juta di lebih 70 negara.
Sementara itu Tunku Azizah yang turut diumumkan sebagai penerima Ikon Wanita negeri Pahang sempena majlis itu bertitah, baginda bersedia untuk berkhidmat kepada wanita di seluruh dunia. – Bernama











