JOHOR BAHRU 14 Sept. – Polis menahan seorang tukang cuci disyaki melakukan perbuatan
sumbang mahram ke atas anak saudaranya perempuannya berusia 10 tahun di sebuah hotel bajet di Taman Tunku Aminah, Skudai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, lelaki
berusia 48 tahun itu ditahan pukul 9.20 pagi selepas pihaknya menerima maklumat daripada pekerja hotel berkenaan yang curiga dengan tindak-tanduk lelaki berkenaan.
“Lelaki dan kanak-kanak perempuan ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan hanya memakai tuala tanpa baju ketika pintu bilik hotel yang didiami mereka itu dibuka.
“Siasatan awal mendapati, kanak-kanak perempuan itu mendakwa bapa saudaranya itu kerap membawanya keluar dan kejadian seumpama itu adalah kali kedua berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mohd. Taib berkata, pihaknya akan mendapatkan permohonan tahan reman terhadap suspek yang berasal dari Taman Saleng Indah, Senai dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga anak berusia 25 tahun hingga 28 tahun, bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE










