Bukan di Turki, sebaliknya di Jerman. Sebuah tugu emas menyerupai pemimpin dunia berpengaruh iaitu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah didirikan baru-baru ini.
Tugu emas yang besar itu direka dan dibina oleh seniman-seniman arca sempena pameran Biennale di Wiesbaden, Jerman sebagai dedikasi kepada kepimpinan pemerintah Turki itu.
Tugu emas setinggi empat meter itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan dan kekecohan dalam kalangan orang ramai termasuk penyokong dan penentang tokoh tersebut di Jerman.
Di sebalik arca keemasan itu seakan sanjungan, ia boleh diberikan pelbagai tafsiran sehingga sesetengah pihak merasakan ia merupakan penghinaan kerana tugu berbentuk Erdogan yang sedang menuding jari itu disifatkan seperti Hitler Turki.
Ada juga pihak menyifatkan ia menyerupai patung Saddam Hussein yang pernah ditumbangkan oleh tentera Amerika Syarikat di Baghdad. Sesetengah pihak pula beranggapan ia sebagai penghinaan kepada negara Jerman sendiri kerana mengagungkan tokoh tersebut.
“Kami meletakkan tugu ini untuk membincangkan mengenai Erdogan. Dalam demokrasi, kita menerima apa sahaja pandangan,” demikian ucap penganjur pameran tersebut, Eric Laufenberg.
Pun begitu, setelah perdebatan kian tegang selain bagi menghindari keganasan, Datuk Bandar Wiesbaden, Sven Gerich telah mengarahkan supaya tugu itu dialih oleh pihak bomba.











