KUALA LUMPUR 4 Sept. – Portal dalam talian, Tonton hari ini mengedarkan kira-kira 600 cawan kopi kepada kakitangan Kumpulan Utusan di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad bagi mempromosikan drama terbaharu mereka berjudul Kopi.
Pengarah Pelesenan dan Pembarangan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Airin Zainul berkata, Tonton kini menawarkan perkhidmatan penstriman video secara percuma bermula 31 Ogos lalu.
“Strategi transformasi perniagaan ini sejajar untuk meningkatkan hasil melalui pengiklanan digital yang paling pesat berkembang pada masa kini.
“Dengan jumlah penonton 8.4 juta pengguna berdaftar, Tonton menjadi sebuah portal penstriman video terbesar di Malaysia yang menampilkan drama bersiri menarik khas buat para pengemar cerita pendek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bagi mempromosikan drama Kopi, trak khas digerakkan ke lokasi terpilih bermula hari ini dengan menyajikan kopi istimewa secara percuma bersama pelakon-pelakon utama drama tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Siri Original Kopi, Megat Shahrizal Mohamamed Yusoff berkata, sebanyak 13 daripada 19 cerpen terbaik dipilih dan dikembangkan ke pelbagai genre termasuk seram, komedi dan romantik.
“Pemilihan pengarah yang berbeza untuk setiap siri menjanjikan jalan cerita terbaik buat penonton.
“Setiap episod diolah dengan baik dan Kopi menjadi medium penceritaan yang luar biasa,” katanya.











