Timbalan Presiden UMNO dukacita Mustapa, Anifah keluar parti - Utusan Malaysia

Timbalan Presiden UMNO dukacita Mustapa, Anifah keluar parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan
Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar daripada UMNO sebagai perkhabaran yang mendukacitakan.

Kata beliau, kedua-dua mereka adalah tokoh yang disegani, berkebolehan dan terbukti keupayaan dalam memimpin serta berkhidmat manakala jasa serta sumbangan mereka kepada UMNO dan negara tidak boleh dinafikan. 

“Kini mereka memilih haluan berbeza dan memutuskan untuk meninggalkan UMNO dan perjuangannya. Saya yakin ini adalah satu keputusan yang tidak mudah kepada semua. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kepimpinan UMNO, khususnya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO amat prihatin dengan perkembangan ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad mengakui proses membaik pulih UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berjalan dengan sedikit perlahan dan tidak serancak atau radikal seperti yang diharapkan oleh ramai pihak. 

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, keadaan itu yang mengundang rasa tidak selesa dan mewujudkan suasana ketidakpastian yang merugikan semua pihak.

Justeru, beliau menegaskan perkara itu akan diberi perhatian dan penekanan yang serius selepas ini demi memastikan UMNO tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya.

Tambahnya, beliau malah percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan dan hala tuju parti perlu dikongsikan dengan semua dalam tempoh yang segera.

“Perkara ini akan menjadi tanggungjawab saya, MKT dan Presiden UMNO untuk dilakukan dengan secepat mungkin.

“Saya amat berharap segenap ahli, pendukung dan kepimpinan UMNO terus memberi sokongan penuh kepada parti dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini