Tiga maut kereta bertembung treler - Utusan Malaysia

Tiga maut kereta bertembung treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Tiga termasuk dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler tanpa muatan di Kilometer 44.5, Jalan Ipoh – Taiping dekat Kati di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, pemandu kereta jenis Nissan Sunny, Muhammad Asyraf Hamdan Al Fikri, 27, dan adiknya, Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri,17, serta rakan mereka, Muhammad Amirul Fahmi Samsudin,12, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superitendan Zahiri Hassan berkata, siasatan awal mendapati, treler yang dipandu seorang lelaki sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Siput menghala ke Kuala Kangsar manakala kereta yang dinaiki ketiga-tiga mangsa datang dari arah bertentangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, treler tersebut dipercayai mengelak binatang yang melintas sehingga menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan.

“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut terperosok di bawah treler tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Zahiri, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

Ujarnya, pemandu treler itu hanya mengalami cedera ringan pada bahagian kepala dan kini ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu,Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, beliau bersama 10 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.26 malam semalam.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati sebuah kereta jenis Nissan Sunny telah remuk dan berada di dalam longkang manakala sebuah treler tanpa muatan berada di atas kenderaan tersebut.

“Bagi memudahkan operasi menyelamat, khidmat kren digunakan bagi mengangkat kedua-dua kenderaan berkenaan. Operasi mengeluarkan kesemua mangsa mengambil sedikit masa berikutan kedudukan dan keadaan kereta yang sudah remuk.

“Kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia. Mayat kesemua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini