KANGAR – Tiada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bakal keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan negeri Perlis yang baharu seperti dakwaan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri, Wan Saiful Wan Jan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Hamizan Hassan berkata, beliau dan sembilan wakil rakyat BN tidak berbincang dan soal keluar parti tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.
“Khabar angin ini hanya dibicarakan di kedai-kedai kopi dan pemain politik sahaja.
“Namun, kami tetap setia dengan BN kerana kami dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menerusi parti ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media melaporkan semalam, Wan Saiful mendakwa beberapa orang pemimpin UMNO Perlis akan menyertai parti itu.
Katanya, beberapa pertemuan dan rundingan dengan pemimpin berkenaan telah dan masih berjalan serta menunjukkan tanda-tanda positif.
“Saya fikir masanya tidak lama lagi mereka menyertai Bersatu. Bagaimanapun, saya tidak boleh dedah nama pemimpin berkenaan sehingga segala-galanya diputuskan,” katanya dipetik.
Sebelum itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang juga merupakan ADUN Bintong menafikan menafikan spekulasi wakil rakyat BN bakal keluar parti selain menyifatkan perkara itu tidak berasas sama sekali. – K! ONLINE










