KUALA LUMPUR 19 Sept. – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan sebarang kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan pentadbirannya.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MPS, Ahmad Fauzi Ishak berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk menyita lori berkenaan bagi memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab daripada terus melakukan kerja haram berkenaan.
“Tindakan sita pernah diambil pihak MPS ke atas dua buah lori yang terlibat dengan pembuangan sampah haram di kawasan Batu 8 1/2, Masjid Zakaria, Jalan Gombak pada tahun lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, aktiviti pembuangan sampah haram ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar bahkan mengganggu penduduk setempat.
“Sebelum ini kawasan tersebut dipenuhi longgokan sampah-sarap seperti plastik dan kayu.Aktiviti haram itu juga telah dihentikan sepenuhnya pada tahun lepas.
“Bagaimanapun, nama syarikat masih dalam proses pencarian melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan belum dikenal pasti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Utusan Kota hari ini melaporkan keluhan penduduk kampung Batu 8 1/2 Gombak dekat sini yang bimbangkan keselamatan mereka berikutan sebuah lokasi berhampiran dijadikan tapak pelupusan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Difahamkan kegiatan itu berlaku sejak lima tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.











